Rabu, 21 November 2012

Budi Bahasa Budaya Kita





Kempen Budi Bahasa yang dilancarkan pada 11 Jan 2005 merupakan agenda lima tahun kerajaan dalam misinya melahirkan rakyat Malaysia yang berbudi bahasa.

Senyuman Ikhlas
Malah budi bahasa yang paling asas iaitu melemparkan senyuman dan mengucapkan terima kasih masih sukar dilihat dalam masyarakat kini.
Beberapa pakar  berkata kempen itu, yang kini dinamakan program Budi Bahasa dan Nilai-nilai Murni, baik tujuannya dan memang perlu diteruskan biarpun keberkesanannya belum meluas.

Budi Pekerti Asas Utama
Kepincangan ini telah melahirkan beberapa sindrom negatif yang kini dipandang seakan-akan satu kebiasaan di kalangan masyarakat Malaysia.  Namun, pada hakikatnya, kita telah meletakkan budi pekerti sebagai satu asas dan tunjang dalam pelbagai dasar dan falsafah pembangunan negara, dari Rukun Negara sehinggalah kepada Wawasan 2020. Jelaslah bahawa aspirasi kita dalam bidang pembangunan minda dan rohaniah tidak sejajar dengan realiti kehidupan kita masa kini.
Dalam kesibukan kita sehari-hari, kita mungkin semakin lupa untuk memupuk ciri-ciri keperibadian luhur, baik untuk diri kita sendiri ataupun untuk anak-anak kita. Sebelum budaya masyarakat kita merosot lagi, kita harus sedar dan mempelajari serta mempraktikkan semula nilai-nilai dan budi bahasa warisan kita. Usaha ini harus dimulakan pada peringkat diri sendiri, peringkat keluarga dan pada peringkat masyarakat.

Nilai-nilai Murni
Kempen budi bahasa dan nilai-nilai murni ini merupakan agenda penting kerajaanuntuk menyemarakkan dan menyemai semula budi bahasa dan nilai-nilai murni kedalam jiwa setiap rakyat Malaysia. Kempen ini diharap dapat memperkukuhkan kembali kekuatan peribadi dan jati diri setiap individu. Negara akan menjadi agung jika warganya terdiri dari insan-insan yang mengamalkan budaya murni. Tidak ada gunanya jika masyarakat Malaysia kaya dari segi kebendaan tapi muflis dari segi keperibadian.

Aktiviti Yang Dijalankan:
1. Mengenang Jasa Ibu Dan Bapa (Kekeluargaan)
Mengadakan aktiviti seperti makan sekeluarga, menghormati ibu dan bapa, meraikan Hari Ibu dan Hari Bapa, pertandingan sajak, pertandingan bergambar dan minggu keluarga.
2. Pelajar Berbudi Bahasa (Pembelajaran)
Mengadakan pertandingan pidato, bahasa, pantun, drama, sketsa,choral speaking,boria, dikir barat, kuiz, nasyid, Kembara Budi Bahasa, melukis, animasi, Anugerah Asrama Terbilang dan Kem Jatidiri.
3. Berbudi Bahasa (Kemasyarakatan)
Mengadakan aktiviti seperti Minggu Budi Bahasa, Kenali Jiran Anda dan Kempen Pemanduan Bersopan.
4. Senyum dan Terima Kasih (Perkhidmatan)
Mengadakan kempen 'Kenali Saya' bagi anggota penguatkuasaan dan perkhidmatan kaunter supaya mengamalkan budaya senyum, memperkenalkan diri dan mengucapkan terima kasih.
5. Cintai Alam Sekitar, Flora dan Founa
Mengadakan aktiviti seperti gotong-royong 'Sungaiku Bersih Alamku Permai', ´'Tandas Bersih',' Kampung Indah Masyarakat Ceria','Anugerah Bandar Berbudi Bahasa', 'Anugerah Gerai/Pasaraya Terbaik' dan 'Anugerah Untuk Perusahaan Kecil'.
Kempen ini perlu diadakan kerana kedapatan di kalangan masyarakat masa kini nilai-nilai dan amalan hidup yang kasar, yang tidak berbahasa, yang tidak mengendahkan tatasusila dan beradab. Cara memberi khidmat, cara melayani pelanggan atau orang ramai oleh kakitangan kaunter hadapan di jabatan-jabatan kerajaan seterusnya menimbulkan tidak puas hati di kalangan orang ramai.

Kempen Budi Bahasa Budaya Kita
Kini  kita bergerak untuk mengutip kembali warisan yang sangat berharga itu. Kempen Budi Bahasa Budaya Kita adalah satu gelombang yang diharap akan mengembalikan rakyat kepada asas hidup berbudaya negara ini.
Kempen Budi Bahasa Budaya Kita adalah sepenting dan sebesar Wawasan 2020, destinasi impian yang menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara industri. Cuba lihat kembali cabaran-cabaran Wawasan 2020 menjadi negara maju dalam acuan budaya kita.
Untuk tidak kelihatan terlalu besar dan menakutkan, lihat saja budi bahasa dalam konteks kehidupan seharian semua kelas sosial dalam masyarakat. Amalan-amalan budi bahasa yang mudah dilakukan misalnya menyambut tetamu, melayan tetamu dan tatacara tidak rasmi ketika bertemu.
Budi dan bahasa tidak akan terbalas dan bukan untuk dibalas. Budi dan bahasa yang baik akan terus kekal menjadi kenang-kenangan.

3 ulasan:

  1. Penerangan yang ringkas dan padat .

    BalasPadam
  2. Bagus sekali info yang cikgu paparkan iaitu penerapan nilai-nilai murni yang sepatutnya kita amalkan dalam kehidupan ini. Tahniah usaha cikgu itu.

    BalasPadam
  3. blog cikgu banyak memberi ilmu kepada saya dan anak murid saya. TQ

    BalasPadam