Rabu, 14 November 2012

Pendidikan Moral


Mata pelajaran Pendidikan Moral merupakan satu usaha untuk mendidik murid supaya menjadi insan yang bermoral dan berakhlak mulia dengan menekankan aspek perkembangan penaakulan moral, perasaan moral dan perlakuan moral. Mata pelajaran ini diharap dapat menghasilkan murid yang berpengetahuan, mempunyai perwatakan yang mulia, bersopan santun dan menyumbang secara produktif terhadap masyarakat dan negara.

Mata pelajaran Pendidikan Moral juga membolehkan murid menguasai pelbagai kemahiran; kemahiran penyelesaian konflik, kemahiran pemikiran kritikal, kemahiran pemikiran kreatif, kemahiran menentang rakan sebaya, kemahiran kajian masa depan, kemahiran teknologi maklumat dan komunikasi, kemahiran kreativiti dan kemahiran sosial. Penguasaan kemahiran tersebut akan membantu murid membina daya tahan, menghadapi cabaran dan tekanan hidup dengan penuh keyakinan dan bertanggungjawab dalam kehidupan harian.

Untuk merealisasikan hasrat mata pelajaran Pendidikan Moral, Kurikulum Standard Pendidikan Moral sekolah rendah digubal. Kurikulum Standard Pendidikan Moral memberi tumpuan kepada usaha memupuk kerohanian dan moraliti murid. Kurikulum tersebut memberi fokus terhadap pemahaman, penghayatan dan amalan nilai murni universal yang terdapat dalam agama, tradisi dan adat resam pelbagai kaum, dan perundangan di negara ini. Kurikulum ini menyediakan satu panduan hidup kepada murid untuk membuat keputusan dan tindakan yang membolehkan mereka melaksanakan tanggungjawab moral dan sosial terhadap masyarakat.
Penggubalan Kurikulum Standard Pendidikan Moral berasaskan prinsip berpegang teguh kepada ajaran agama, bertanggungjawab kepada diri, keluarga, orang lain, dan alam sekitar, mengekalkan keamanan dan keharmonian hidup, bersemangat patriotik, menghormati hak asasi manusia dan mengamalkan prinsip demokrasi dalam kehidupan bagi mendukung hasrat dan aspirasi negara yang terkandung dalam Rukun Negara, dan Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Ia juga selaras dengan tiga prinsip moral iaitu altruistik, autonomi dan keadilan. Sebagai sebuah negara yang sedang melangkah ke arah status negara maju, kita perlu membina masyarakat yang bermoral dan beretika, iaitu sebuah masyarakat bersatu padu yang mempunyai nilai keagamaan dan keharmonian yang kukuh.

( Dipetik daripada  Dokumen Standard KSSR Pendidikan Moral )

3 ulasan: